Thursday, July 15, 2010

Adakah Adat di Negeri Sembilan Membebankan?


Oleh : Keris UMNO lama..

Kerislama adalah orang jati Negeri Sembilan. Hidup di dalam suasana beradat dan dilingkungi adat. Lahir-lahir Kerislama tidak tahu pun dirinya beradat serta adanya bersuku. Sehinggalah Kerislama berkahwin dan masih tinggal di negeri beradat ini ia tetap tidak memahami erti sebenar adat pepatih yang ada. Pendek kata tidak ada sesiapa yang khusus memberi tahu akan adat itu sendiri kepada orang yang beradat.

Akhirnya Kerislama sendiri mencari, siapa diri yang beradat ini. Dari mana keturunan dan sukunya datang dan kenapa dirinya tidak tahu adat itu beradat. Walaupun ini bukan pengajian Kerislama tetapi Kerislama amat berminat membuat kajian berhubung adat Kerislama. Bersuku dan beradat Kerislama membuat kajian terperinci dan masih menjalankan kajian ini yang ia semakin merumitkan Kerislama. Beberapa artikel dan buku telah dibaca dan diteliti termasuk artikel dan buku dari negara jiran saudara kita di Bukit Tinggi. Mungkin di sana lebih asli bahannya untuk dibuat sedikit kajian. Alih-alih kajian ini menambahkan kebuntuan Kerislama.

Apa tidaknya, adat yang ada di sana amat berbeza samada dari segi cara dan amalan, undang-undang dan juga perlaksanaan. Kerislama cuba menyusuli lebih lanjut sehinggalah membuat keputusan untuk mengeluarkan artikel ini sebagai tatapan dan hujahan pembaca supaya dapat membantu.

TINJAUAN KE NEGERI SEMBILAN

Sepanjang perjalanan Kerislama atau melalui setiap kampung di Negeri Sembilan, data dicatit dan dikira. Di dapati 70%-90% rumah peninggalan samada pusaka atau rumah adat(tanah adat) ditinggalkan(dibiarkan) kosong melebihi 5-10 tahun. Purata rumah-rumah ini terbiar dan tidak ada penghuninya langsung(tidak termasuk tanah-tanah adat yang tidak ada bangunan rumahnya). Apabila disoal siasat dan dicatitkan berdasarkan maklumat jiran-jiran atau waris pemiliknya perkara-perkara berikut di jadikan alasan:

1. Kerana anak-anak telah berpindah bekerja ke bandar - 45.8%
2. Orang tua sudah tiada-meninggal atau mengikut anak ke bandar(tem[at lain) - 36.6%
3. Perebutan saudara-mara-sesuku - 6.6%
4. Tidak diketahui siapa layak memiliki(mengusahakan) - 10.4%.
5. Tiada orang yang mahu menuntu hak(tiada anak perempuan dari sesuku) - 3.8%
6. Lain-lain - tiada ketahu - 0.56%


Apa pun alasan di atas signifikannya mengakibatkan berlakunya pembaziran dan ketebiaran tanah tanpa dihuni atau diusahakan oleh mana-mana pihak. Selama hampir 20 tahun, kadar peningkatan tanah adat yang terbiat dan dibiarkan tanpa diusahakan meningkat menjadi 80% dan selebihnya diusahakan tetapi bukan dilakukan oleh pemilik sebenar(orang luar-dipajak atau disewakan).

Kanun tanah dan adat tidak dapat menyelesaikan masalah ini disebabkan terdapat pertembungan di antara kedua-dua enikmen ini sehingga belum ada penyelesaian yang dapat dilakukan sehingga sekarang. Apa yang amat menyedikan sekali kesemua urusan tanah adat yang dibawah enikmen tanah adat tidak dapat membuat pindaan atau persefahaman bagaimana untuk mengusahakan masalah ini.

Sepanjang penglibatan saya dan kehadiran di dalam seminar tanah adat atau adat-adat Pepatih, belum ada yang mempersoalkan kenapa tanah adat ini terbiar atau bagaimana ia perlu diselesaikan untuk meningkatkan ekonomi orang-orang Melayu Negeri Sembilan. Kerislama jemu dengan pembentangan makna adat, struktur adat, sejarah adat dan sebagainya sehingga lupa usaha untuk mempertingkatkan pembangunan tanah adat. Bijak pandai yang membentangkan kertas kerja sebegini seperti takut untuk menyatakan perkara sebenarnya dan mungkin mereka juga seperti orang yang Kerislama nyatakan di atas.

Apabila Kerislama menuju ke negeri lain, kadar PERATUSAN RUMAH TINGGAL ATAU TERBIAR amatlah rendah dan kebanyakan rumah-rumah Melayu di kampung masih lagi ceria, bersih dan mengandungi aktiviti pengusahaan. Pendek kata rumah-rumah di negeri selain Negeri Sembilan masih lagi bertunggu.

Di mana silapnya?

Apabila kajian diperincikan lagi, Kerislama mendapat ilham dan keputusan yang memungkinkan ia menyumbang kepada peratusan tertinggi masalah ini.

Pertamanya adat yang diamalkan tidak mencerminkan sifat adat itu sendiri. Sikap muafakat yang ada dalam pepatah pepatih Negeri Sembilan tidak lagi diamalkan sepenuhnya, malah hilang sama sekali di telan zaman. Perbalahan antara adik beradik dan saudara mara ke atas perebutan tanah ini semakin ketara apabila ke generasi seterusnya. Mereka tidak mahu mengalah dan menggunakan istilah "Biar mati anak jangan mati adat" untuk mempertahankan maruah diri. Mereka sanggup membiarkan tanah dan rumah usang begitu sahaja asalkan hati mereka puas dengan perbuatan yang salah dilakukan.

Kajian juga mendapati ketua-ketua adat atau buapak-buapak tidak memainkan peranan seperti yang diselaraskan di dalam pantun adat, "Muafakat membawa berkat". Mereka sendiri jahil tentang adat istiadat dan hanya memahami sebahagian sahaja adat perkahwinan dan perpisahan. Malah mereka ada yang tidak mengetahui cara-cara pengurusan urusan adat anak-anak buah mereka.

Ketiga, Kerislama mendapati orang-orang Negeri Sembilan atau pengamal adat tidak memahami sepenuhi istitusi adat dan mereka menganggap adat pepatih banyak membebankan diri mereka serta ia tidak perlu diamalkan di zaman Internet ini. Cerdek pandai telah melupai asal usul mereka sehinggakan ada diantaranya tidak mengetahui suku yang mereka asali. Orang-orang Negeri Sembilan hanya mengetahui diri mereka adalah orang Negeri Sembilan dan bukan orang Negeri Beradat.

Keempatnya, Kerislama menerima banyak pengaduan bahawa adat pepatih telah dicemari dan bertentangan dengan hukum syarak dan syariat Islam. Kerislam tidak berpendirian seperti mereka. Sebenarnya hujah mereka ada benarnya kerana adat yang diamal dan teramal sekarang ini banyak yang telah lari dari cara adat istiadat yang berlandasan syarak seperti yang dinyatakan oleh adat itu sendiri, "Adat berlandasan kitabullah".

Kajian-kajian lain masih belum dapat dipastikan lagi kesahihannya, memandangkan kebenaran fakta belum lagi dapat diproses. Sebahagiannya mengatakan orang Negeri Sembilan lebih suka merantau dan ini selaras dengan hakikat orang-orang minangkabau (lelaki) suka mencari rezeki ke luar daerah(tanah mereka) sehingga perubahan ini ketara berkitar dengan zaman sains dan teknologi.

Walau apa pun alasan melalui kajian ini, Kerislam masih mencari dan berusaha agar mendapat jawapan yang lebih jitu kenapa fenomena ini pantas berlaku menjelang 2020 atau pada satu masa nanti tanah adat ini akan tidak lagi mempunyai tuannya dan kembali semula ke pihak Lebaga Adat Negeri Sembilan.

Saya memohon pandangan para cerdik pandai untuk melemparkan buah fikiran, adakah kajian saya ini sesuai diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.

Wassalam Kerislama...



No comments: